>>> Iblis dan syaitan amat suka kalau manusia melakukan syirik kepada Allah. Hal ini kerana apabila seseorang itu terlibat dengan perbuatan syirik, maka ia akan mengakibatkan tergelincirnya akidah seseorang muslim daripada landasan keimanan kepada Allah. Inilah sebenarnya yang dikehendaki oleh iblis dan syaitan. Mereka mahu manusia mengikuti mereka ke neraka. Allah berfirman dalam Surah AnNisa' ayat 116,maksudnya : " Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan dosa-dosa selain kesalahan syirik itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu apa jua, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh."
>>> Maksud daripada ayat ini ialah apabila seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan syirik dan tidak sempat bertaubat kepada Allah, maka sudah tentu akan terjerumus dalam kebinasaan untuk selama-lamanya di akhirat kelak. Dia tidak akan memperoleh pengampunan daripada Allah. Justeru ,syirik merupakan suatu kesalahan yang amat besar yang tidak boleh dipandang remeh oleh sesiapa pun. Syaitan akan sedayaupaya berusaha untuk menjebakkan manusia dalam perbuatan syirik.
Sehubungan dengan itu,Nabi s.a.w telah memberi amaran agar menjauhkan diri daripada terjebak dalam perbuatan syirik kerana ia merupakan suatu kebinasaan.
>>> Sabda Rasulullah yang bermaksud : " jauhilah tujuh perkara yang membawa kepada kehancuran."Para sahabat bertanya : "Apakah tujuh perkara itu,ya Rasulullah?" Baginda kemudian menyenaraikan tujuh perkara berikut :
- Syirik kepada Allah
- Sihir
- Membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan sebab yang dibenarkan agama
- Memakan riba
- Memakan harta anak yatim
- Lari dari medan jihad
- Menuduh perempuan baik berzina.
>>> Syirik merupakan suatu kezaliman yang besar. Allah telah merakamkan dalam alQuran nasihat Luqman terhadap anaknya melalui Surah Luqman ayat 13 yang bermaksud : "Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada ananknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya : ' Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."
Oleh yang demikian, menjadi suatu kewajipan kepada setiap individu Muslim untuk memastikan agar tidak terjebak dalam perbuatan syirik dan menghindarkan diri daripada terjebak dalam hasutan dan belitan iblis itu.
No comments:
Post a Comment